My memori

Saturday, April 16, 2011

Lumrah


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Wahai Tuhan kami!
Perbaikilah hati kami,
hapuskanlah cacat cela kami,
pimpinlah kami ke arah kebaikan,
hiasilah kami dengan taqwa,
kurniakanlah kepada kami
taat setia kepadaMu
sepanjang hidup kami.

Tuhan kami! Jadilah kami ikhlas kepadaMu,
syukur kepadaMu,
bertawakkal kepadaMu,
taubat kepadaMu,
khusyuk kepadaMu.

Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya kami mohon kepadaMu
ketetapan di dalam urusan ini
keazaman di dalam hidayah
tolonglah kami mengingat Engkau
menyebut namaMu
mensyukuri Engkau
baik ibadat kepadaMu.

~Ameen~

Memburu Cinta Hakiki

Ya Allah Sesungguhnya aku lemah tanpa-Mu
Diriku ini penuh dengan dosa dan noda
Jangan Kau biarku melayari bahtera perjuangan ini sendirian
Kerana aku tidak mampu tanpa kekuatan daripada-Mu
Maka, ampunilah segala dosaku ya Allah
Terangi jalan hidupku dengan cahaya kasih-Mu
Suburkanlah jiwaku dengan keimanan
Pimpi
nlah daku dengan hidayah-Mu
Hanya pada-Mu Tuhan
Ku sandarkan harapan....
"Alangkah bahagia hidup ini, dengan cinta haqiqi,
daripada Rabbul 'Izzati, Allah yang Maha Mengasihi"
Subhanallah Walhamdulillah Wa lailahaillallah Wallahuakbar..

ERTI PERSAHABATAN...

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi
dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang
memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran
seorang sahabat,begitu juga dia.

Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang
harapan dan perasaan kita.

Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.
Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita
terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....
kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati.

Kita beri beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita.

Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga
tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu
kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan,
harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan
penyelesaian masalah.

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga
kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama
kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa
bimbangnya, rasa takutnya?

Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita?

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?

Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat
setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh
dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah?

Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah
masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana
dia juga seorang manusia;dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang,
sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan.
Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin
sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka.

Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin
diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan,kita
tidak tahu.......tetapi jika
kita cuba jadi sahabat seperti dia,mungkin kita akan tahu.

Renungilah.......




Friday, April 15, 2011

Menghargai Masa adalah Satu Tuntutan

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

masaedit
                                                                              
Pengurusan Masa 

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa 'masa itu emas'.

masaemas01


Kepentingan Masa 

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: 

 Maksudnya:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.

2)Melaksanakan amal salih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

3) Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Jangan Suka Bertangguh-tangguh

Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang daripada diri seorang insan yang bergelar  dalam mengejar kecemerlangan diri serta kecemerlangan negara.

Bertangguh dalam melaksanakan sebarang tugas adalah tidak digalakkan dan akan merugikan masa seseorang.

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.” 

Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Memanfaatkan Masa Di Dunia

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia. 

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Masa Tidak Akan Di Sia-siakan

Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia
dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan
yang baik, sudah pasti direbutinya. 

Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:
i) Masa hidup sebelum mati
ii) Masa sihat sebelum sakit
iii) Masa lapang sebelum sibuk
iv) Masa muda sebelum tua
v) Masa kaya sebelum fakir."


Pernah Rasulullah S.A.W ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda:
Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."

Kesimpulan 

Menghargai  masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.
Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Suntingan/ Rujukan:   Akhbar-akhbr Tempatan

Kemuncup



Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Sedar tak sedar usia kita semakin berganjak. Sesetengah orang, hari-hari yang dilalui penuh dengan gelak ketawa, hilai tawa. Namun ada juga mereka yang melalui episod kehidupan dengan duka dan lara. Semuanya sudah tertulis untuk setiap langkah perjalanan kita sebagai hamba di bawah langit yang kita junjung.

Namun, dalam mengejar keindahan yang terselit di sebalik bilahan dunia, atau dalam sibuk melawan kehendak dan keinginan hati yang tidak pernah bertepi, atau sedang keliru memilih jalan-jalan yang terbentang banyak pilihan...ada sesuatu yang pasti. Sesuatu itu yang menentukan kehendak pilihan, sesuatu itu yang menimbangtara tindakan, sesuatu itu yang menyekat keinginan berlebihan, sesuatu itu yang membuatkan seseorang tidak lupa hidup sebagai hamba dan akan ada pengadilan. iaitu dosa dan pahala.

Berjalan di bumi yang luas terbentang, dengan memenuhi kehendak-kehendak yang ada, umpama berjalan di padang yang penuh kemuncup. Jalan di padang itulah yang harus kita lalui. Jalan yang asalnya bersih dan tersisih dari segala macam tumbuhan yang menganggu, kini penuh dengan kemuncup yang segar dan pastinya akan melekat pada pakaian seandainya kita melalui jalan itu tanpa berhati-hati. Namun, walau berhati-hati setakat mana sekalipun pasti benih-benih kemuncup itu akan terlekat jua walau satu atau dua. Kerana hanya itu jalan yang harus kita lalui, dan hanya itu jalan yang kebanyakkan orang yang lintasi.

Namun, orang-orang yang merasa kemuncup yang melekat itu sebagai kotoran atau sesuatu yang menganggu, pasti akan disishkannya. Behenti sebentar di tepian, dan sisihkan kemuncup yang melekat di pakaiannya. Tapi, bagi yang tidak merasai iainya sebagai satu gangguan, tanpa rasa rimas, diteruskan perjalanan dengan kemuncup yang semakin hari semakin penuh di pakaiannya.

Begitulah umpama hidup ini, hari-hari yang kita lalui penuh dengan benih-benih dosa yang berada diperjalanan hidup. Setiap hari, bahkan setiap detik kita sentiasa dihidangkan dengan bibit-bibit dosa yang ada pada anasir jahiliyyah. Apa yang kita pandang, apa yang kita dengar, apa yang kita lihat, apa yang kita fikir, apa yang kita perkatakan, apa yang kita lakukan, dan segala macam tindakan yang kita ambil setiap hari, terdedah dengan dosa. Mata kadangkala memandang perkara-perkara maksiat, mulut mudah menabur fitnah dan mengucapkan nista, tangan dan kaki terarah melakukan tindakan murka, telinga berpeluang mendengar sesuatu yang enak di dengar namun hakikatnya mengundang dosa, Fikiran sentiasa mencari peluang menghancurkan tindakan mulia dan hati yang menjadi pusat kawalan akhirnya tunduk jua pada nafsu yang bermaharajalela. Na'uzubillah.

Begitulah kehidupan yang sudah diselaputi anasir-anasir jahiliyyah yang ada. Bagi mereka yang tidak sedar akan hakikat ini, pasti akan berkata "Inilah syurga dunia". Dengan segala macam kemewahan dan keindahan yang ada di dunia telah mengabuli mata untuk melihat hakikat syurga yang sebenarnya. Mata yang enak dan terbiasa dengan memandang perkara-perkara dosa tidak lagi merasakan itulah adalah dosa, malah merasakan itu adalah satu kebiasaan yang dilakukan oleh orang kebanyakkan sekarang. 'kebiasaan' itu telah menyelaputi dan mengabuli mata hati untuk melihat kebenaran. Sesungguhnya syaitan itu kreatif. Pandai menukar warna hitam dosa kepada warna-warna indah menurut keinginan manusia, kerana dia tahu manusia itu pasti kalah dengan keinginan.

Namun, bagi orang yang sedar bahawa hidup ini banyak anasir jahiliyyah yang menanti di jalanan, pasti akan berhati-hati dalam menapak atas pentas kehidupan. Umpama padang kemuncup yang ada jalan-jalan yang harus kita lalui untuk sampai ke destinasi. Setiap daripada 'mereka' takkan terlepas dari terkena kemuncup, namun yang menjadi penilaian, diantara kita, siapa yang berusaha membersihkan kemuncup yang melekat pada pakaian. Berhenti sebentar menyinsihkannya atau terusan berjalan tanpa rasa apa-apa? Semoga yang tidak merasa sensitif pada setiap tusukan 'kemuncup' pada pakaian itu, bukanlah kita.

Begitulah kehidupan. Tiada siapa terlepas dari melakukan dosa. Namun, di antara kita siapakah 'mereka' yang berusaha untuk berhenti sebentar mencari persinggahan lantas muhasabah dan bertaubat atas keterlanjuran tindakan yang mengundang dosa dan murka Tuhan? Di antara kita siapa yang merasa resah atas setiap dosa yang kita lakukan? Di antara kita siapa yang berusaha untuk melalui jalan yang jauh dari bibit-bibit kemurkaan Allah? Semoga 'mereka' itu adalah kita.

Ungkapan pegangan berbau gurauan " Alah, nanti dah tua bertaubatlah" sering kita dengar. Namun, pernah atau tidak kita terfikir, usia itu rahsia Allah. Ungkapan itu hanya sesuai apabila kita sampai usia tua, tapi kalau tidak sempat tua? Dipertengahan usia remaja ajal sudah menjemput, bagaimana? Kerana usia itu adalah rahsialah seharusnya kita perlu lebih berhati-hati dalam menapak di bumi ini. Berapa ramai yang menghabiskan usianya pada umur muda belia? Dan yang pentingnya berapa ramai yang menghembuskan nafas terakhir dengan dirinya sudah bersih dari dosa?


Kecenderungan melakukan dosa adalah lumrah seorang hamba, namun yang menjadi ukuran Allah kepada kita adalah setakat mana kita berusaha membersihkan dosa-dosa itu.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih. Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkanAku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anakAdam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi"

Kerana itulah pentingnya muhasabah berterusan. Semoga perjalanan harian yang kita lalui tidak melekat dengan kemuncup tanpa pernah berusaha untuk membersihkannya yang akhirnya kita bawa berterusan sehingga sampai ke destinasi.

Biarlah kehidupan yang kita lalui bersih dari dosa dan yang kita persembahkan pada Allah di akhir kehidupan nanti hanyalah pahala. InsyaAllah.
Wallahu'alam

Hak Wanita Memilih Suami


Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya.Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya,kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan.

Allah swt , memberikan setiap perkahwinan itu dengan rasa kasih sayang dan rahmah. Tentu sahaja cinta, kasih sayang dan rahmah tidak akan ada jika perkahwinan itu dilaksanakan dengan paksa. Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedangkan diamnya gadis menandakan
persetujuannya"(HR Tabrani)

Cara yang paling tepat untuk memilih suami yang baik iaitu dengan mengetahui latar belakang kehidupannya. Di zaman Rasulullah saw, untuk mengetahui keadaan calon suami, orang tua atau wali akan bergaul langsung untuk mengenali lelaki tersebut. Umpamanya Rasulullah saw tidak memilih Ali untuk puterinya Fatimah, kecuali baginda mengetahui akhlak dan agamanya.

Islam juga membolehkan kaum wanita menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh. Sikap seperti ini tidak salah kerana bertujuan ingin mendapatkan keredhaan Allah swt dan untuk memperolehi pahala daripadanya samada apakah tawarannya itu diterima ataupun sebaliknya.

Anas ra berkata : Ada seorang wanita yang datang menawarkan dirinya kepada Rasulallah saw dan berkata : Ya Rasulullah saw apakah baginda memerlukan aku?. Puteri Anas ra yang ada di situ mencela wanita tersebut. Kemudian anas ra berkata kepada anaknya itu : Dia lebih baik daripadamu wahai anakku. Wanita tersebut suka dengan nabi dan menawarkan dirinya. Kerana sikap wanita tersebut tidak melanggar tuntutan agama, maka Rasulullah saw tidak mencelanya, maka baginda menolak tawaran tersebut dengan cara berdiam diri, agar tidak melukakan perasaan wanita tersebut.

Islam juga memberi hak kepada kaum wanita agar menolak pasangan yang dijodohkan untuknya atau yang meminang dirinya. Jika orang tua atau wali sesuka hati memaksa kahwin dengan lelaki yang tidak disukai lantaran akhlaknya yang buruk, maka wanita itu berhak menolaknya.

Anis binti Qatadah mempunyai suami bernama Khanfasa` bin Khaddam yang meninggal dunia dalam Perang Badar. Ayahnya mengahwinkannya dengan orang lain secara paksa. Anis Bin Qatadah menghadap Rasulullah saw dan menceritakan nasibnya itu. Ya Rasulullah ayahku memaksa aku kahwin dengan pilihannya, sedangkan aku lebih menyukai bapa saudara daripada anak-anakku
sebagai pengganti suamiku. Maka perkahwinan itu dibatalkan oleh Rasulullah saw, dan Rasulullah saw merestui perkahwinan Anis dengan saudara suaminya,kerana kepentingan wanita tersebut dan anak-anaknya.

Tidak ada yang berhak memaksa seorang gadis untuk kahwin dengan lelaki yang tidak disukainya. Tetapi jika ayahnya telah memilih untuknya suami yang soleh maka itu lebih baik baginya agar menerimanya. Kerana orang tua selalu menginginkan agar anaknya bahagia, serta memperolehi suami yang bertanggungjawab.

Perkahwinan yang berdasarkan paksaan kadang-kala akan menerima kehancuran kerana di antara suami isteri tidak sayang menyayangi dan tidak saling mencintai. Firman Allah swt maksudnya : Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan
di antara kamu rasa kasih dan sayang.(Ar-Rum : 21)

Jika kaum wanita atau gadis ingin memilih calon suaminya sendiri, maka janganlah mengikut keinginan nafsu sahaja. Perhatikanlah aspek keimanan dan ketakwaan yang dimiliki oleh calon suami tersebut. Jangan selalu mengutamakan kedudukan dan harta, kerana kedudukan dan harta boleh lenyap bila-bila masa sahaja. Allah akan menjamin kebahagiaan hidup suatu keluarga
di dunia ini jika mereka beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Firman Allah swt maksudnya: Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah
mereka kerjakan.(An-Nahl :97)

Jangan merasa bimbang jika calon suami tidak mempunyai harta yang banyak. Namun seandainya ia tergolong orang yang bertaqwa dan beramal soleh maka Allah akan memberikan rezeki yang cukup kepadanya. Abu Dzar berkata,bahawa Rasulullah saw bernah bersabda maksudnya : Sesungguhnya aku mengetahui suatu ayat, sekiranya orang ramai berpegang teguh dengannya mereka akan hidup makmur. 
Kemudian baginda membacakan ayat tersebut maksudnya : Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginyajalan keluar. Dan memberikan rezeki daripadanya arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu. (Ath-Thalaq :2-3)

INSAN BERNAMA IBU

“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat.

Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuan.

 

Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.

Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.

Masa terus berlalu…
Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si ibu.

Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk dan memujuk. 

Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu…
“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan, ” kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.
 
Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.

“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali. “Tak mungkin,” balas si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan penderma itu
masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.” “Bila?” tanya si anak.
“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya
mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.

Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.
“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”
 
Selagi ibu kita ada didunia ini, ciumlah dia, cium tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah “SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU”, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya
ada,curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya..


 ~KU AMAT MENYANYANGI DAN MERINDUIMU MAK~